Monday, October 31, 2011

MAJLIS PERSARAAN EN. ZALANI B. HJ. AWANG by idamyx@YouTube



Tarikh: 27 Oktober 2011 (Khamis)
Masa : 8.30 pagi
Tempat: SMK Kijal
          Encik Zalani b. Hj. Awang yang juga mesra dikenali sebagai Pok Zalani telah dilahirkan pada 27 Oktober 1953 di Jalan Da' Omar, Kemaman. Beliau merupakan anak ketiga dari 4 orang adik beradik kepada keluarga Allahyarham Hj. Awang b. Mohd. Kiah dan Allahyarhamah Hjh. Besar bt. Musa. Encik Zalani b. Awang telah menerima pendidikan di SK Kijal dari darjah 1 hingga Darjah 6, Sultan Ismail Secondary School dari kelas 'remove' sehingga tingkatan 3 dan menyambung ke tingkatan 4 dan 5 di Methodist English School.
          Kesusahan hidupnya membuatkan Encik Zalani menerima apa sahaja pekerjaan. Beliau pernah bekerja di kilang papan Syarikat Jaya Kijal selama 6 bulan, tukang kebun di SMK Sultan Ismail sehinggalah beliau mengisi jawatan tetap sebagai Pembantu Makmal bermula 8 April 1978 sehinggalah tarikh persaraan beliau.
          Encik Zalani sememangnya berbakat dan aktif dalam permainan bolasepak dan pernah mewakili Belia Kijal dalam Liga Daerah Kemaman, mewakili Pejabat Pendidikan pada tahun 1978 sehinggalah tahun 2004. Beliau juga pernah menjadi pengadil bolasepak Daerah Kemaman, Negeri dan Kebangsaan. Selain menjadi jurulatih bolasepak Pasukan Belia Kijal, jurulatih di SMKSI dan jurulatih Daerah Kemaman dalam Majlis Sukan-sukan Terengganu, beliau juga mengikuti kursus Jurulatih (lesen C dan A).
          Ke mana tumpahnya lauk kalau tidak ke nasi, bakat bolasepak yang ada pada dirinya telah diturunkan kepada anak beliau iaitu pemain bolasepak terkenal T-Team, Zairo Anuar Zalani. Encik Zalani berpegang kepada prinsip bahawa untuk berjaya di mukabumi ini, kita perlu mempunyai azam dan tekad untuk berjaya.
          Encik Zalani b. Hj. Awang, selamat menempuh gerbang persaraan dan semoga diberi seribu kerahmatan. Terima kasih di atas segala sumbangan dan pengorbanan yang diberikan.

Disediakan oleh: Puan Aishah bt. Abdullah