Monday, March 22, 2010

BILIK SIBER BESTARI SMK KIJAL MULA OPERASI 5 APRIL 2010

Bilik Siber Bestari SMK Kijal akan mula beroperasi pada 5 April 2010. Bilik Siber ini ditubuhkan hasil inisiatif pihak sekolah sendiri yang prihatin tentang kebajikan para pelajar dalam mendapatkan pembelajaran yang terbaik.


Bilik ini mempunyai 5 buah komputer yang disumbangkan oleh makmal sekolah dan 2 buah komputer lagi dihadiahkan oleh Maxis Communications Sdn. Berhad sempena kejayaan Maxis Cyberkids SMK Kijal dalam pertandingan e-Challenge Peringkat Kebangsaan 2008. Manakala kemudahan internet di Bilik Siber pula telah ditaja oleh beberapa individu daripada Unit ICT sekolah sendiri.


Selain akses internet, para pelajar tingkatan 3 juga boleh mengikuti kelas maya secara percuma yang ditaja khas oleh pihak Maxis Communications Sdn. Bhd. Para pelajar yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut dan mendaftar dengan Puan Ida Zahariah bt. Mahmood sehingga akhir bulan April ini.


Kemudahan internet di Bilik Siber ini adalah untuk semua warga SMK Kijal bagi tujuan pembelajaran dan pengajaran sahaja.Tempahan awal perlu dibuat dengan Penyelaras Bilik Siber bagi mengelakkan kesesakan dan masalah perkakasan ICT yang terhad.

LADAP SSQS: KURSUS ASAS EMAIL GURU DAN KAKITANGAN SEKOLAH


Tarikh: 20 Februari 2010
Masa: 8.30 pagi
Tempat: SMK Kijal
Objektif: Melengkapkan para guru dan kakitangan dengan pengetahuan asas penggunaan e-mail dalam pengurusan
Jurulatih ICT Sekolah: Puan Ida Zahariah binti Mahmood, En. Zamri bin Mustaffa

MAJLIS PENYAMPAIAN WATIKAH PELANTIKAN PENGAWAS PUSAT SUMBER SEKOLAH 2010


Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengawas Pusat Sumber Sekolah SMK Kijal 2010 telah berlangsung pada hari Ahad 21 Februari. Ianya disempurnakan oleh Pengetua SMK Kijal,Tuan Hj. Shaffie bin Awang. Seramai 37 orang pelajar telah dilantik sebagai pengawas PSS pada tahun ini.


Objektifnya ialah untuk memberi pengiktirafan kepada semua pengawas PSS tahun 2010 agar dapat melaksanakan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan dan sentiasa menunjukkan sikap dedikasi sepanjang menjalankan tugas-tugas di PSS.


KELAS TUISYEN PERKASA PMR 2010

Kelas Tuisyen Perkasa PMR 2010 peringkat sekolah telah bermula pada 6 Februari (Sabtu). Seramai 261 orang pelajar tingkatan 3 termasuk 20 orang pelajar elit yang bakal menduduki PMR pada tahun ini terlibat dan mereka dibahagikan kepada 8 kumpulan (kelas).

Kelas tuisyen ini bermula pada jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 10.00 pagi untuk sesi pertama. Kelas untuk sesi kedua pula bermula pada jam 10.30 pagi setelah berehat selama setengah jam dan berakhir pada jam 12.30 tengahari.

Guru-guru yang terlibat ialah guru-guru SMK Kijal yang juga merupakan guru bagi setiap mata pelajaran PMR bagi tahun 2010. Kelas Tuisyen Perkasa ini yang bermula pada Februari dijadualkan berakhir pada September 2010.

Pelaksanaan kelas tuisyen ini diharapkan dapat membantu pelajar untuk menguasai setiap mata pelajaran yang dipelajari dan seterusnya mendapat keputusan yang cemerlang dalam PMR nanti.

IBU-BAPA SAMBUT BAIK PROGRAM GEMILANG KRK


Program Gemilang KRK 2010 telah diadakan pada 3 Februari di Dewan Makan Asrama SMK Kijal. Program ini telah dihadiri oleh Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Kemaman dan sebahagian besar ibu-bapa pelajar KRK tingkatan satu dan dua. Pihak kaunselor SMK Kijal mengucapkan terima kasih kepada semua pelajar, ibu-bapa dan guru yang telah memberi sokongan dan menjayakan program ini.



PERTANDINGAN BOLA JARING DAN BOLA SEPAK ANTARA RUMAH SUKAN

Pertandingan bola jaring telah berlangsung pada 1 Februari di padang asrama pelajar perempuan. Pertandingan bola sepak telah diadakan pada 8 dan 9 Februari dan bertempat di padang sekolah (A & B ). Objektif pertandingan ini ialah mencungkil bakat pelajar dalam kedua-dua permainan dan seterusnya mengenalpasti peserta sekolah untuk mewakili sekolah dalam pertandingan peringkat daerah dan negeri.

Bola Jaring
Kategori : P15
Johan : Rumah Pesona
Pemain Terbaik:
Munirah Bt. Johar
Kategori: P18
Johan : Rumah Satria
Pemain Terbaik:
Wan Nur Fatira Bt Wan Abd Mubin

Bola Sepak
Kategori : P15
Johan : Rumah Putra
Pemain Terbaik:
Mohd Zul Syafiq B Jalil
Kategori: P18
Johan : Rumah Satria
Pemain Terbaik:
Masyadi B Abdullah

SMK KIJAL TERPILIH TERIMA ETA DARI AMERIKA SYARIKAT


SMK Kijal telah menerima seorang pembantu guru Bahasa Inggeris dari Amerika Syarikat buat kali keduanya pada 1 Februari 2010.

Beliau ialah Kathryn RoxAnn MacAulay dan berasal dari Minnesota. Kathryn merupakan salah seorang daripada 14 “Fulbright Scholars” yang dibawa khas oleh MACEE dan Kerajaan Negeri Terengganu untuk membantu guru-guru meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar. Beliau akan bertugas selama 10 bulan bermula 2 Februari ini. Mudah-mudahan kehadiran beliau menjadi pemangkin kepada kecemerlangan prestasi Bahasa Inggeris di SMK Kijal.